Renungan terhadap Intelektual dan Kemiskinan
Ada satu artikel menarik dari saudara Naim al-Kalantani berkenaan dengan pemikir dan kemiskinan. Beliau bukanlah orang pertama yang membuatkan saya menyedari isu ini, tidak silap, Zamir Mohyedin pernah membuat satu ciapan Twitter tentang hierarki Maslow(Tidak silap juga, ketika itu beliau sebut pasal filem?).
Cuma artikel ini mengingatkan saya dengan penulisan Nassim Taleb dalam siri Incerto. Selalunya golongan yang miskin atau B40, ini tidaklah begitu teruja dengan intelektualisme. Mereka tidak seperti kita yang sudah selesa dan diberi pendidikan yang baik, kerana hidup mereka sendiri mencuba untuk menjawab beberapa persoalan penting dalam kehidupan yang bagi kita, remeh, "Adakah aku boleh makan untuk hari ini?", "Adakah esok dan lusa cukup untuk aku tanggung kehidupan aku, bini aku, anak-anak aku.", "Berapa banyak duit perlu aku gunakan untuk ini dan itu", dan seumpanya.
Mereka tiada masa untuk berfikir tentang isu kemiskinan sedunia, isu hak asasi, isu alam sekitar… Mereka perlu berfikir tentang isu yang paling penting dalam hidup mereka, "Adakah aku dan keluarga aku boleh bertahan pada hari esok". Dan esok, wahai pembaca, bukanlah sesuatu yang boleh diagak, kerana siapa sahaja tahu akan kejadian pada hari esok? Wallahualam.
Tidak seperti saya di sini, belajar dalam kelas tentang kemiskinan, cara-cara untuk mengatasi masalah kemiskinan dan sebagainya yang kebanyakan bersifat teori. Masakan ada praktikal untuk kelas tentang kemiskinan untuk saya yang yang didedahkan dengan kemudahan pendidikan dan ibu bapa pula bekerja dalam sektor kerajaan. Cuba bayangkan ahli-ahli sosiologi, yang kini menerima dengan dana dan geran yang banyak dari universiti untuk membuat satu kajian tentang "orang miskin", "susah", dan lagi menarik, "gelandangan". Ada sesuatu yang tidak kena di situ bukan?
Pelajar, pengajar dan pembicara tentang "masalah rakyat" ini perlu sedar bahawa golongan yang bawahan ini ada Skin in The Game , mereka tahu apa itu erti kesusahan secara terus dari segi emosi, rohani dan fizikal mereka. Mereka tidak perlukan aktiviti kemasyarakatan, atau kelas pembelajaran untuk mendalami masalah masyarakat yang miskin, kerana merekalah masyarakat yang miskin dan susah.
Adakah ini bermakna mereka ini – yakni orang miskin tersebut – tidak cerdik? Sudah tentu tidak, malah mereka sebenarnya lebih cerdik dalam menghadapi kehidupan berbanding sebahagian yang panggil diri mereka 'intelektual'. Kita sepatutnya lebih menghormati dan mengkagumi pakcik, makcik, akak, atau abang, yang berusaha untuk mencari pendapatan mereka dalam kehidupan seharian mereka, yang berniaga di warung-warung dan di jalanan, yang berkebun, yang menoreh getah, yang bekerja sebagai kontraktor dan sebagainya. Mereka juga perlu berfikir dengan baik setiap hari bagaimana untuk kekal hidup pada hari-hari yang akan datang. Berbeza dengan saya di sini yang hanya memikirkan soal yuran universiti, bila mahu balik rumah ketika cuti semester, di mana mahu makan selepas kelas dan sebagainya.
Akan tetapi mereka sentiasa aktif berfikir , sekiranya mereka berniaga di warung, mereka perlu fikir tentang perbelanjaan, ragam-ragam pelanggan dan sebagainya. Manakala bagi yang bekerja di bengkel-bengkel, atau di kilang-kilang, atau di kawasan-kawasan pertanian, penternakan lain pula cara berfikir mereka.
Mereka berfikir juga, bukan golongan intelektual sahaja yang berfikir. Cuma mereka tidaklah membaca apatah lagi menulis tentang kehidupan mereka, mereka tiada masa untuk itu kerana mereka tahu prioriti mereka yang sebenar. Menulis ini bukanlah penjamin untuk memberi pendapatan mereka untuk anak-anak mereka secara menyeluruh. Kebolehan berfikir bukan sahaja dimiliki oleh golongan bijak pandai, tetapi juga oleh semua kelompok masyarakat.