Pena berbunga


Satu Penilaian Semula terhadap Konsep "Primitif"

Konsep dalam apa-apa bidang ilmu akan memberikan satu kerangka atau epistemologi yang berbeza mengikut individu. Konteks banyak memainkan banyak peranan dalam hal ini.

Ia bermula dengan pengalaman saya dalam satu kuliah bahawa pensyarah saya tidak gemar menggunakan 'primitif' kerana ia dilihat sensitif, simplistik dan boleh menggusirkan hati sebahagian pihak. Beliau melihat 'primitif' sebagai lama, kolot, dan simplistik. Beliau lebih gemar menggunakan 'pra-industri' untuk memahami masyarakat pramoden. Saya agak hairan dengan tindakan sedemikian kerana sebelum era pramoden juga mempunyai tahap-tahap masyarakat yang berbeza yang memerlukan pemahaman dan metodologi yang berbeza, cuma tidak serumit dan kompleks zaman industri dan moden. Malah mereka juga mempunyai perbezaan dalam pemahaman yang 'lepas' atau yang 'kini'.

Inilah pentingnya untuk menilai semula konsep.

Kita perlu faham primitif dalam maksud yang asal; Primitif berasal daripada perkataan Latin, "primus", dan sesiapa yang mempelajari Latin secara pemula akan mengetahui perkataan ini bermaksud 'yang utama' atau 'yang pertama'. Ia juga boleh difahami sebagai "sesuatu yang berkembang atau diolah" daripada yang asal.

Sekiranya kita melihat dari kerangka ini, primitif dalam konteks sains sosial yang dimaksudkan di sini ialah konsep "manusia" atau "masyarakat" yang awal yang dijadikan rujukan pemahaman dan epistemologi. Dalam konteks barat, pemahaman primitif ini boleh difahami dalam dua kerangka, iaitu kerangka agama dan Kerangka Sains1. Kerangka Sains melihat masyarakat primitif sebagai asas, dan simplistik dalam aspek struktur, perbuatan, dan budaya masyarakat itu sendiri. Dalam konteks evolusi, ia dilihat sebagai masyarakat yang tidak bertamadun, yang hanya memburu dan berpindah randah. Durkheim

Dalam konteks Kristian, primitif boleh dilihat dalam aspek manusia yang terawal diciptakan dan melihat tabii dan perbuatan mereka iaitu dengan memahami Nabi Adam AS, dan isterinya Hawa, dan Taman Eden dalam Bible. Kerangka ini telah digunakan oleh Joseph de Maistre, dan Rene Girard untuk memahami sifat semulajadi dan tabii masyarakat, dan kerangka ini yang menyebabkan mereka melihat ia sebagai sifat manusia yang diwarisi sejak zaman Adam AS. Joseph de Maistre memahami manusia sebagai sesuatu yang perlukan "Kuasa" untuk menyekat atau mengawal sikap kejahatan manusia ini. Ini dapat dilihat dalam Kristian sifat manusia sebagai "pendosa" dan hanya memerlukan Pengampun untuk menyelamatkan ke-pendosa-an mereka. Konsep sifat 'asal' atau primitif manusia ini telah memberikan satu kerangka epistemologi bagi de Maistre dalam pemikiran politik, sosiologi dan agama beliau.

Henry David Thoreau sendiri memuji satu keadaan yang primitif dan melihat ia sebagai sesuatu perkara yang perlu dicontohi dan dipuji kerana kecukupan keadaan mereka dengan keperluan yang mereka ada. Bagi Thoreau,

Who does not remember the interest with which when young he looked at shelving rocks, or any approach to a cave? It was the natural yearning of that portion of our most primitive ancestor which still survived in us.

The very simplicity and nakedness of man’s life in the primitive ages imply this advantage at least, that they left him still but a sojourner in nature. When he was refreshed with food and sleep he contemplated his journey again. He dwelt, as it were, in a tent in this world, and was either threading the valleys, or crossing the plains, or climbing the mountain tops.

Dalam petikan di atas yang terkandung dalam karya beliau, "Walden", beliau melihat manusia yang bersifat primitif yang lebih dekat dan lebih bergantung dengan 'alam' ialah sifat semula jadi dan tabii asal manusia. Beliau melihat inilah keadaan manusia yang sepatutnya sebelum perkembangan teknologi.

Dalam konteks Islam, berbeza pula dengan pemahaman kita terhadap manusia primitif. Manusia yang primitif - sama seperti Kristian - melihat dalam penciptaan Adam dan Hawa dan juga Jannah, tetapi mempunyai epistemologi dan pemahaman yang berbeza dalam memahami primitif. Contohnya dapat dilihat dalam al-Quran dan Hadis, Nabi Adam AS sering memilih yang baik iaitu susu berbanding arak, dan kehidupan baginda di Syurga dan kita juga dapat memahami ciri-ciri syurga yang menyenangkan. Kita juga dapat memahami bahawa manusia merupakan golongan yang lupa, tetapi mereka juga mampu memperbaiki diri sendiri dengan bertaubat seperti dalam kisah Nabi Adam AS. Inilah yang dimaksudkan sebagai primitif dalam Pandangan Sarwa Islam.

Sekiranya dilihat dalam contoh-contoh ini, ia jelas menunjukkan bahawa konsep akan membawa kefahaman yang pelbagai dengan memahami etimologi yang sebenar dan penggunaan kerangka epistemologi yang berbeza.

Bacaan Tambahan

  1. https://www.youtube.com/watch?v=ucn2KzCDnOY - Antara video yang menyedarkan saya terhadap penggunaan konsep yang telah berubah makna.
  2. Murad, A.H. 2012. Commentary on the eleventh contentions. The Quilliam Press: Cambridge, United Kindom.
    • Antara ilmuwan yang mendedahkan tentang sifat asal manusia menurut pandang sarwa Islam dalam memahami manusia.
  3. Thoreau, H.D. 2012. Walden. Empire Books: Las Vegas, Nevada. ( Boleh juga didapati di gutenberg.org)

Footnotes:

1

Menariknya, perkataan sains ini juga perlukan penilaian semula, kerana perkataan ini sekiranya difahami dalam konteks kata akarnya yang asal dengan konteks moden ialah sangatlah berbeza. "Sains" atau "Scientia" dalam Latin merujuk kepada ilmu, bidang ilmu dan pengetahuan, tetapi pada masa ini ia merujuk kepada kerangka metodologi. Dalam penulisan ini, saya menggunakan maksud yang kedua.