"Masyarakat ni, mereka sangat simplistik"!
Ini satu ungkapan yang sangat menarik, dan sejujurnya ia datang daripada seorang yang memikirkan dirinya sebagai seorang yang "membaca", terpelajar, peka tentang isu semasa, dan ingin mengubah dunia ke arah yang lebih baik(sekiranya dia benar-benar melakukan sesuatu untuk mengubahnya). Mungkin benar, tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang banyak membaca, berpeluang belajar di institusi pengajian tinggi dan mendapatkan sekalung ijazah(atau mungkin banyak lagi), peka dengan isu semasa, tak mampu berfikiran "rasional" dan sebagainya…
Banyak jugalah keluhan daripada golongan sebegini terhadap masyarakat.
Akan tetapi, itulah hakikatnya, dan hakikat tak ramai orang sedar(sebab memang tak ramai pun) termasuklah kepada si pengeluh ini.
Untuk penulisan ini, saya akan guna singkatan SP bagi "Si Pengeluh".
Masyarakat terdiri daripada individu-individu, dan setiap individu tersebut mestilah ada masalah, latar belakang, dan perjalanan hidup mereka sendiri. Tak satu individu sama dengan individu yang lain. Ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka dapat melihat membaca atau berlajar di universiti sebagai satu kepentingan, ada juga yang sebaliknya – iaitu terus bekerja selepas SPM, berniaga dan ada juga yang mendirikan rumah tangga kerana kepentingan atau keperluan mereka sendiri. Ada juga yang – sama seperti SP – mengkritik masyarakat kampung sebagai sangat konservatif, dungu dan "simplistik"(kalau ia membawa apa-apa makna) kerana tidak "bijak" terutamanya dalam mengundi pada parti yang si pengeluh ingin mereka undi, atau tidak begitu peka dengan isu semasa.
Akan tetapi, mungkin SP perlu tahu dan faham, bahawa "kebijaksanaan" ini sesuatu yang agak abstrak, umum dan sangatlah luas maknanya. "Kebijaksanaan", wahai SP yang bijaksana, tidak datang dengan membaca buku, belajar di universiti, mendapat sekalung Phd, menghadiri banyak seminar keilmuan, dan sebagainya. Kebijaksaan ini berada di merata-rata tempat bukan sahaja dalam buku-buku oleh sarjana yang sangat terkemuka, tetapi juga terdapat dalam pemilik kedai warung dalam kawasan kampung kamu. Hal ini disebabkan mereka tidak seperti kamu, SP, tetapi mereka hidup dalam masyarakat. Mereka tidak perlu memikirkan soal-soal perbahasan tinggi melangit seperti ekonomi, hak asasi, perbahasan politik tinggi melangit dan sebagainya.
Tidak seperti kita, mereka mempunyai satu ilmu yang kita sendiri kurang, SP, iaitu ilmu kehidupan. Dan ilmu kehidupan tidak datang dari buku-buku. Sekiranya ada pun, ia tetap perlu dipraktikkan di dunia yang nyata ini. Dan sememangnya, masyarakat yang "simplistik" dan "kekampungan" ini dapat memahami dengan mudah terhadap "ilmu kehidupan" berbanding dengan kita.
Saya sehingga kini sendiri agak kagum dengan golongan "simplistik" seperti di kampung-kampung mampu kenal dengan antara satu sama lain dengan mudah, ramah kerana sekarang ini sukar untuk mencari orang yang sangatlah ramah, mesra dan pandai bergaul dengan orang lain, mampu untuk hidup tanpa bergantung daripada orang lain, dan yang lebih penting, dalam kalangan mereka ada yang sangat praktikal – terutamanya yang berniaga. Tidak dinafikan, peniaga-peniaga terutamanya peniaga warung banyak mengenali pelanggan-pelanggan, seperti ahli sosiologi yang banyak mengkaji manusia. Cuma bezanya, mereka mengenali mereka secara praktikal berbanding dengan ahli sosiologi yang lebih teoretikal.
Mungkin peniaga-peniaga sangat simplistik kerana mereka cuma terus berniaga, dan terus hadap dengan pelbagai kepelikan karenah pelanggan, tetapi bezanya dengan ahli sosiologis yang banyak bermain teori dan statistik, peniaga belajar tentang pelanggan secara berdepan. Saya boleh pergi lebih jauh dengan mengatakan bahawa, golongan-golongan sebegini yang kamu kata "simplistik" mempunyai kefahaman terhadap masyarakat lebih mendalam berbanding dengan kamu yang banyak membaca banyak-banyak buku yang hebat tentang masyarakat. Ke-"simplistik"-an mereka sebenarnya telah memudahkan kerumitan yang dialami oleh saintis sosial, cuma mereka tidak ada masa atau tidak melihat keperluan untuk menulis buku tentangnya kerana ia merupakan pengetahuan umum buat mereka.
Itu perbezaan kamu dengan "mereka", dan sejujurnya SP, banyak lagi ingin saya sampaikan, tetapi cukuplah ini sebagai satu pengenalan ringkas kepada kamu tentang masyarakat "simplistik" secara keseluruhannya.
Mengapa pengenalan ringkas dan tidak menjawab dengan lebih panjang lagi?
Itu kamu perlu cari sendiri jawapannya sahabatku. Benar, membaca, menuntut ilmu itu sangatlah penting, tetapi hidup bermasyarakat dan belajar tentang kehidupan bermasyarakat juga samalah penting. Ia akan mengajar kamu untuk lebih besederhana dengan setiap ungkapan kamu, dan tidak sewenang-wenangnya memandang rendah dengan masyarakat. Kamu perlu lupakan sebentar tentang teori-teori dan beberapa kosakata – atau jargon – terhadap masyarakat ketika belajar di universiti, dan melihat masyarakat sebagai masyarakat (atau dengan kata yang lebih simplistik "jadi orang biasa").
Dan masyarakat, wahai sahabatku, bersedia untuk mendidik kamu secara tidak langsung.