Renungan Yang Tidak Berakhir
Walaupun sudah tengah malam, waktu yang sepatutnya ramai dalam kalangan rakyat Bandar Baru Bangi patut tidur dan merehatkan diri, masih terdapat lagi kenderaan yang lalu sana sini. Lagi-lagi dengan cahayanya dan bunyi enjinnya yang masih meriuhkan suasana malam yang sepatutnya sunyi.
Saya pula duduk di tepi masjid UKM, merenung panjang ke arah kenderaan-kenderaan tersebut di pintu utama UKM. Renungan tersebut bukanlah terhadap kenderaan-kenderaan itu, tetapi lebih kepada renungan saya terhadap pengalaman saya bergaul dengan masyarakat.
Mungkin disebabkan pergaulan saya dengan masyarakat yang pelbagai membuatkan saya sendiri rasa keliru dan hanya terdiam sahaja. Saya tidaklah terlalu terbuka sehingga boleh dikatakan sebagai seorang "liberal", tetapi pada masa yang sama, saya sangat berminat untuk mendalami masyarakat, dan budaya yang berbeza. Daripada situlah, saya terus memberanikan diri untuk terus berbual, bertanya soal, memerhati, mengkaji, menambah rakan, dan sebgainya bagi memahami masyarakat dan budaya itu sendiri. Jangan salah faham, wahai pembaca sekalian, pergaulan yang dimaksudkan bukanlah pergaulan bebas yang difahami ramai. Ya, mungkin kalian sensitif bila diungkitkan perkara sebegini, kerana universiti awam di Malaysia memang berlakunya pergaulan bebas.
Dan tidak dinafikan bahawa, ia telah meluaskan perspektif terhadap diri saya, dan pada masa yang sama, keliru dengan diri saya. Mungkin agak menghairankan, apakah yang membuatkan diri saya keliru?
Mungkin jawapannya senang sahaja, perbezaan perspektif. Daripada perbezaan, sudah tentunya akan membawa kekeliruan. Sebagai seorang yang mempunyai perspektif yang pelbagai disebabkan oleh pergaulan yang luas, mendengar seseorang memberikan pandangan yang _{tertutup}, membuatkan saya terkilan.
Ada dalam kalangan kita mengkritik barat dalam erti kata yang sempit. Mengatakan barat itu liberal, barat itu hedonistik, barat itu lgbt. Sekiranya kalian memang peka terhadap perkembangan di barat, dari Zaman Pencerahan(yakni bermulanya era "Liberalisme") sehingga kini, kalian akan sedar, pertembungan antara fahaman "Pencerahan" dan penentangan terhadap "Pencerahan" itu sendiri. Kalian akan sedar tidak semua dalam kalangan pemikir barat yang menyokong konsep "moden", "demokrasi", "lgbt" dan sebagainya. Ada suara yang mengkritik, ada suara yang menentang arus "liberal" yang "tidak digemari" oleh kalian yang mengkritik barat. Joseph de Maistre merupakan seorang tokoh yang menarik dalam era tersebut. Boleh juga kalian(dan juga saya…) buat sedikit bacaan seperti Julius Evola, Rene Guenon, dan Lewis Murphy dalam memahami kritikan terhadap era moden.
Saya sejujurnya apabila mendengar pandangan orang lain berkenaan dengan masalah masyarakat pada hari ini, saya hanya terdiam, tak mampu berkata apa-apa. Ya, benar, banyak masalah sosial berlegar sana sini, dan sudah tentunya ia perlukan satu penentangan, tetapi entah mengapa, saya lebih mengambil jalan memerhati dan memikirkan terhadap masalah tersebut. Ramai bersuara menentang dalam apa jua perkara manakala saya pula hanya memerhati dari belakang.
Entahlah.
Mungkin dan juga mungkin, saya hanya seoarang yang sering berbeza dengan orang lain. Saya tidaklah duduk dibawah satu kumpulan sahaja, dan saya juga tidak suka ditarik masuk terus ke dalam mana-mana kumpulan tanpa rela. Saya lebih suka bergerak bebas(bukannya budaya bebas ya…), mengenali ramai orang berbanding duduk tetap di kumpulan tersebut. Saya mungkin dilihat sebagai seekor kambing biri-biri hitam, seorang yang tidak tetap, seorang yang bergerak, cuba memahami pelbagai jenis manusia dan masyarakat tanpa henti.
Ya, saya sangat meminati manusia dan masyarakat. Dan itu mungkin antara salah satu sebab mengapa saya akan melalui jalan yang berbeza dengan orang lain. Jalan apakah itu? Wallahualam, Allah lebih mengetahui tentang itu.
Saya hanyalah seorang pengembara di dunia yang luas ini, yang masih mencari lokasi yang ingin dituju