Le Bon, Kelompok dan Perang DECTAR
Kamu tahu tak?
Baru-baru ini(sejujurnya dari dulu lagi) ada beberapa isu berkenaan dengan budaya Perang DECTAR di UKM. Perang DECTAR ini ialah salah satu acara tahunan bagi orientasi pelajar-pelajar kemasukan baru(atau MAW). Acara ini merupakan perlawanan "Sorakan Perang"(atau War Chant Cry dan apa-apalah yang sinonim) antara 12 kolej di UKM. Boleh sahaja rujuk di laman Youtube untuk gambaran acara tersebut, dan rasanya universiti lain juga ada acara sebegini.
Tujuan acara ini lebih kepada ingin menerapkan rasa cinta kepada UKM, rasa selesa dengan suasana universiti, mampu selesa dengan rakan-rakan kolej, membina jaringan dan sebagainya dan sebagainya. Sejujurnya acara ini bukanlah acara yang singkat, tapi lama juga bergantung kepada pihak kolej kalian ingin pulang atau tidak. Sesiapa yang pulang awal akan dikira sebagai kalah, dan yang terakhir kekal akan dinobat sebagai juara(dan merekalah yang akan mengemas DECTAR).
Jadi, ada sebahagian pihak kecewa mengapa pelajar-pelajar ini begitu ghairah dengan acara Perang DECTAR. Artikel ini merupakan penjelasan akan perkara tersebut. Dan ya, ini juga bukanlah penulisan untuk mempertahankan Perang DECTAR. Tidak sama sekali. Ini cumalah satu renungan, pemerhatian dan mungkin kritikan(?). Bergantung kepada kalian yang membaca.
Mari Kita Lihat Dulu Suasana Perang DECTAR ni
Kalau kalian, yang mungkin bukan pelajar UKM menonton video Perang DECTAR, atau kalian merupakan pelajar-pelajar yang pernah merasai suasana Perang DECTAR(kecuali yang PKP), kalian akan perasan perkara yang sama: 1. Acara dimulai dengan ketukan gendang dan drum 2. Nyanyian dan lompat-lompat 3. Perang DECTAR Bermula
Dan setiap kolej semestinya mempunyai gaya "sorakan" yang berbeza mengikut tema atau identiti kolej tersebut. Kalian sendiri yang melihat atau merasai suasana tersebut, dapat perasan akan semangat dan keghairahan mereka. Kalian perasan mereka seperti "berperang", ia seperti "aku akan mempertahankan maruah kolej aku" atau "aku sanggup menaruhkan segala tenaga dalam sorakan aku" dan sebagainya dan sebagainya. Agak menarik bukan? Mereka tidak kelihatan seperti tergerak oleh satu unsur "yang lebih besar" iaitu "kolej" yang memberikan mereka semangat, dan identiti(dan semestinya perlu beri identiti, dah mereka menetap di situ). Mereka seperti sanggup menjadi "ganas" hanya semata-mata untuk tujuan tersebut. Malah ada sebahagian kita terkejut melihat sebahagian rakan-rakan yang kita kenal, tiba-tiba mempunyai personaliti yang lain ketika Perang DECTAR(atau lebih ghairah).
Mengapa ya?
Perasan atau tidak, keghairahan ini dapat dilihat di mana-mana?
Dalam sukan, dalam semangat kenegaraan dan kebangsaan, dalam semangat ke-sekolah-an(itu pun kebanyakannya sekolah-sekolah yang agak cemerlang), malah dalam politik. Dan ini hanya muncul dalam diri manusia yang mempunyai sifat "kepuakan" dan "Kelompok" dalam kalangan manusia.
Kelompok dan Le Bon
Mungkin kita perlu faham serba sedikit tentang "Kelompok" ini dahulu. Bagi Gustave Le Bon dalam "The Psychology of Crowds", penulis yang dijadikan antara rujukan bagi penulisan ini, Kelompok ialah sekumpulan manusia yang disatukan oleh kepercayaan yang tunggal. Ini menyebabkan Kelompok merupakan satu "makhluk" yang tunggal. Kelompok tidak sama seperti individu. Le Bon sering melakukan perbezaan antara Individu dengan Kelompok.
Individu dalam apa-apa perbuatan mereka, mereka masih perlu fikir dua kali akan tindakan mereka. Sekiranya mereka mempunyai keinginan untuk melakukan jenayah seperti merosakkan harta benda awam, mencuri, membunuh dan sebagainya, individu perlu ambil masa sebentar untuk fikirkan tentang kesan perbuatan tersebut terhadap diri mereka(melainkan mereka ini psikopat). Perbuatan individu bersangkut-paut dengan tanggungjawab mereka.
Tidak seperti Kelompok. Apabila individu menjadi sebahagian daripada Kelompok, sifat "individualiti" itu hilang, dan hanya dilihat sebagai "Kelompok". Ini menyebabkan mereka berada dalam "keadaan tidak sedar" atau dengan bahasa mudah, tak boleh nak fikir secara waras dan hanya ikut kehendak Kelompok disebabkan tekanan. Disebabkan individu dalam Kelompok dalam keadaan tidak sedar, apa-apa sahaja yang dilakukan oleh Kelompok mengikut "idea", atau "kuasa yang lebih tinggi". Bak kata Le Bon, "Dia bukan dirinya, tetapi telah menjadi satu 'automaton' yang bukan lagi dikawal oleh kehendaknya(He is no longer himself, but has become an automaton who has ceased to be guided by his will)".
Kita dapat lihat, Le Bon tulis, bahawa "bagaimana seorang penjimat menjadi boros, seorang skeptik menjadi taksub, seorang yang jujur kepada penjenayah dan seorang pengecut kepada pewira" apabila menjadi sebahagian daripada Kelompok. Malah, golongan yang dilihat lemah, tidak begitu menonjol bebas daripada rasa rendah diri yang teramat apabila berada dalam sebuah Kelompok.
Apa Kaitannya Dengan Perang DECTAR?
Sekiranya kalian lihat dengan suasana Perang DECTAR itu sendiri, perasan atau tidak dengan semangat, dan keghairan pelajar-pelajar di situ? Sekiranya kalian pernah terlibat dalam Perang DECTAR ini, kalian akan lihat rakan-rakan sekeliling kalian juga terlibat sekali menyanyi lagu "UKM Ekor Sejati" dengan lompat sana-sini, dan jari tunjuk atas langit sana-sini. Perlu diingat semula, semua fakulti terlibat akan aktiviti ini, termasuklah ya, Fakulti Pengajian Islam. Itulah hakikatnya apabila kita berada dalam satu Kelompok. Perbuatan oleh golongan majoriti atau Kelompok dengan "identiti" UKM akan mempengaruhi semua pelajar tidak kira akan latar belakang mereka(ingat lagi bagaimana individu dan Kelompok adalah dua perkara yang berbeza?).
Akan tetapi, kesan Kelompok yang lebih jelas terlihat apabila bermulanya persaingan perang sorakan antara kolej-kolej. Dari sinilah kita akan lihat hujah Le Bon terhadap Kelompok dengan Perang DECTAR.
Pada waktu tersebut, terbentuklah beberapa Kelompok yang terdiri daripada kolej-kolej. Ini bukanlah perang sorakan yang terdiri daripada pelajar(atau mahasiswa), tetapi lebih kepada persaingan antara kolej. Kolej di sini hanyalah satu bentuk "puak", serta melambangkan satu unit yang tunggal, dan pelajar di sini hanyalah berfungsi untuk memenangkan dan memelihara kolej atau Kelompok mereka. Dari Perang DECTAR, pelajar-pelajar merasakan diri mereka ini penting bagi kolej. Mereka mempunyai peranan untuk memelihara maruah kolej, malah untuk membawa kolej ke arah kemenangan dalam Perang DECTAR.
Jangan terkejut apabila kita lihat, ada yang sanggup mengotorkan kerusi yang mempunyai kusyen, membaling botol-botol plastik, menyembur air, sanggup memaki, dan sebagainya(mungkin ada lagi yang saya terlepas),
kerana itulah hakikat sebuah persaingan antara Kelompok. Tidak kira kamu dalam sebuah peperangan antara negara, sukan, perbalahan antara kaum dan apa-apa contoh sekalipun berkait dengan Kelompok, ia tetaplah sama, masyarakat di bawah Kelompok sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mempertahankan tradisi, idea, sentimen, dan maruah Kelompok mereka.
"Yelah, Le Bon dan DECTAR bla bla, tapi kau cuma nak kata Perang DECTAR ni tak patutlah kan?"
Sejujurnya saya tak nafi saya terlibat dengan Perang DECTAR ini, dan bila difikirkan kembali, ya saya sendiri mempunyai kekesalan dalam diri ini. Ya, benar, saya juga ada terlibat. Akan tetapi, itulah hakikat sebuah Kelompok yang saya maksudkan. Sekiranya kamu(saya) dalam suasana sebegitu, lagi-lagi dengan semangat dan keghairahan rakan sekeliling, kita juga boleh terpengaruh akan suasana tersebut. Saya sendiri menyaksikan suasana tersebut yang sangat riuh. Dengan lelaki dan perempuan menjerit sana-sini seperti tiada kawalan, air disembur dari atas, pelajar-pelajar yang melompat-lompat dan tidak mengenal erti penat.
Saya boleh sahaja kata ia agak "liar", tetapi sudah tentunya ramai akan tidak bersetuju dengan saya, lagi-lagi yang mempertahankan tradisi ini. Inilah yang dimaksudkan Le Bon, Kelompok mampu melakukan apa-apa sahaja untuk mempertahankan tradisi yang diwarisi sekian lama yang memberikan mereka identiti atau "jati diri", dan ini menyebabkan suara-suara yang menzahirkan penentangan terhadap budaya ini tidak begitu menonjol. Inilah budaya yang melambangkan, bagi mereka, UKM. Penentangan terhadap budaya ini, seperti menentang budaya yang telah dibawa oleh pelajar-pelajar UKM untuk sekian lama, seperti dalam kalangan kita menentang kedudukan istimewa orang Melayu di Malaysia, sudah tentunya akan berlaku reaksi terhadap penentangan tersebut oleh kebanyakan orang Melayu.
Tiada siapa suka apabila identiti dan tradisi kelompok mereka diserang.
"Jadi Kau nak Mansuhkan Perang DECTAR?"
Jangan salah faham. Pemansuhan Perang DECTAR ini pun bukannya di bawah kuasa atau tanggungjawab saya. Mungkin ini di bawah kuasa pihak atasan UKM. Tapi saya agak yakin, sekiranya pihak atasan UKM ada usaha untuk mansuhkan Perang DECTAR inipun tetaplah akan ada penentangan juga. Kelompok tetaplah Kelompok walauapapun.
Begitu juga dengan persatuan-persatuan yang menentang. Mereka mungkin boleh mengatakan pendirian, tetapi mereka tetap tidak berkuasa untuk memansuhkan Perang DECTAR, tetapi itulah antara usaha mereka untuk menentang perkara tersebut.
Bagi yang mempertahankan Perang DECTAR, terima sahajalah bahawa tetap ada yang menentang Perang DECTAR ini dari dulu hinggalah sekarang. Ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Manusia tidaklah sentiasa sama, jadi perbezaan dan tidak persetujuan tetaplah akan wujud. Tidak perlu terlebih taksub mempertahankan dan fikir bahawa inilah "sesuatu yang suci dan tak boleh ditentang". Akan tetapi, sekiranya mereka serius dengan kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa, mereka perlu terima(walau tak bersetuju) dengan kebebasan pelajar untuk menentang, walau ia penentangan terhadap kebebasan pelajar untuk berhibur.
Itulah hakikat sebuah kebebasan.
Kesimpulannya
Ini sekadar satu penjelasan atau renungan suasana Perang DECTAR dengan menggunakan kerangka Le Bon dalam karyanya "The Crowds". Saya juga memberikan sedikit pandangan terhadap beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan Perang DECTAR, dan juga pihak yang tidak bersetuju dengan pihak yang tidak bersetuju dengan perang DECTAR.
Mungkin ada yang bertanya. Adakah Perang DECTAR ini satu kesalahan, perlu dimansuhkan atau perlu dikekalkan? Salahkah beri peluang bagi pelajar baru menyesuaikan diri sebelum memulakan tugas sebagai mahasiswa UKM?
Sejujurnya, ini merupakan soalan-soalan yang tidak perlu saya jawab. Cuma, kepada pembaca-pembaca sekalian yang membaca sehingga akhir penulisan ini, ambil masa untuk merenung kembali dan menilai semula akan perwatakan, dan etika kalian ketika Perang DECTAR.
Kalian akan menjumpai jawapan-jawapan terhadap penulisan ini, insyaAllah. Ya, jawapan tersebut akan berbeza mengikut individu, tetapi bukankah individu selalunya lebih rasional berbanding Kelompok?
Sekiranya terdapat kesalahan terhadap penulisan saya ini, boleh sahaja emel saya.
Sekian.