Pena berbunga


Alain de Benoist: Mengenai Demokrasi

Ini merupakan satu hasil renungan dan ulasan terhadap buku Alain de Benoist, The Problem of Democracy. Tidak nafi, ini mungkin satu karya yang tidak akan dapat diterima di Malaysia pada hari ini, atau lebih tepat, mungkin tidak banyak yang membincangkan tema-tema seumpama ini dalam kalangan pemikir-pemikir politik di Malaysia.

Alain de Benoist?

Alain de Benoist lahir pada 11 Disember 1943 dan merupakan seorang wartawan dan ahli falsafah politik. Beliau terpengaruh dengan pemikir dari Revolusi Konservatif Jerman, dan antara pemikir dalam kalangan "Nouvelle Droite". Beliau menubuhkan GRECE(Groupement de Recherche et d'Etudes pour la Civilisation Européenne) yang merupakan pusat kajian politik dan juga berkenaan dengan budaya dan etnik di Eropah. Antara karya beliau ialah The Problem of Democracy (buku ini), View From The Right yang mempunyai 3 jilid, On Being A Pagan (beliau seorang neo-pagan), Beyond Human Right dan The Ideology of Sameness.

Buku ini hanyalah salah satu sumbangan beliau dalam himpunan-himpunan kritikan oleh pemikir dan sarjana terhadap sistem demokrasi moden.

Terhadap Demokrasi

Tradisi Demokrasi pada zaman Purba terutamanya pada zaman Athens terletak kepada kemahuan penduduk atau masyarakat di satu wilayah untuk duduk bersama. Walaupun begitu, "demokrasi" masih lagi terikat dengan hierarki. Bagi De Benoist, untuk memahami "Demokrasi" dalam erti kata sebenar, penting bagi kita untuk melihat semula kepada Demokrasi pada zaman Yunani Purba. Pada zaman Yunani Purba, rakyat sememangnya "berkuasa" dan "memerintah". Akan tetapi, ia bergantung dengan keterikatan rakyat kepada satu polis atau wilayah tersebut. Ini bermakna, kesamarataan dalam kalangan rakyat bergantung kepada kewarganegaraan kepada satu polis. Jadi, yang tidak mendapat kewarganegaraan seperti hamba, tiada kesamarataan atau kebebasan tersebut(ada persamaan dengan sekarang?). Kesamarataan bagi De Benoist bukanlah kesamarataan yang difahami sekarang tetapi kesamarataan "from their common belonging to the city they derive a common capacity to exercise the right to suffrage, which is the privilege of citizens".

Bagi De Benoist, demokrasi bukanlah penjamin untuk mengelakkan daripada pemerintahan mutlak bersifat autokratik atau despotisme. Akan tetapi, ia tidak dapat mengelakkan sifat sebahagian manusia untuk mempamerkan sifat diktator dalam kehidupan mereka, dan akan memberi kesan kepada semua sistem politik.

Kritikan de Benoist terhadap demokrasi ini lebih kepada "Hukum Angka". Beliau membawa kata-kata Andre Tardieu dan De Romeully yang boleh disimpulkan sebagai, "Tak semua rakyat mampu membuat pilihan undian secara tepat, atau tahu akan isu-isu semasa yang berlaku pada hari ini".

De Benoist mengatakan kuasa kerajaan akan menjadi sah sekiranya ia diterima oleh aspirasi dan harapan setiap rakyat dan memberikan hak juga kepada rakyat untuk menyumbangkan sesuatu kepada sejarah wilayah tersebut.

Kalau kita guna rangka fikir sebegini, seseorang boleh bertanya balik, "Adakah kerajaan pada masa ini sah?". Kita tidak nafi di negara yang mengamalkan sistem parti, tidak semua rakyat akan bersetuju dengan satu parti malah kemungkinan terdapat majoriti yang menyokong satu parti berbanding parti yang lain. Tidak semua akan bersetuju dengan ideologi, aspirasi dan hasrat parti tersebut. Sekiranya ada satu parti(atau pakatan) yang memerintah, yang tidak memenuhi hasrat rakyat yang sebenar, adakah kerajaan(dan juga demokrasi) itu sah? Mungkin tidak.

De Benoist mengkritik pemahaman demokrasi zaman moden(iaitu selepas pencerahan) terutamanya demokrasi Amerika moden berdasarkan "The Declaration Independence of 1776", dengan menggunakan kenyataan "semua manusia adalah samarata" atau mempunyai "..alienable rights". Bagi De Benoist, pemahaman sebegini sangatlah abstrak dan ini menyebabkan demokrasi bukanlah demokrasi yang bersifat "rakyat" iaitu kuasa hak "rakyat" yang terikat dengan kewarganegaraan, tetapi demokrasi yang bersifat idea yang abstrak. Itu juga menyebabkan mengapa ada 'sebahagian' penyokong demokrasi moden ini kelihatan tidak begitu "pro-rakyat", contohnya marah kepada rakyat yang tidak menyokong parti tertentu sebagai kolot atau tidak membaca, walaupun itulah hak rakyat tersebut untuk mengundi apa-apa parti yang mereka mahu, dan itu sendiri hakikat sebuah demokrasi yang sememangnya tidak boleh dielakkan.

Demokrasi juga mempunyai satu paradoks yang tidak boleh diketepikan, "seseorang tidak boleh berpegang bahawa rakyat berkuasa dalam pemerintahan negara(Masih ingat Rakyat Adalah Boss?), tetapi pada masa yang sama menyekat kuasa tersebut daripada berleluasa." Begitu juga dengan undian ketika Pilihan Raya(PRU, PRN atau PKR). Sekiranya dalam Demokrasi, rakyat berhak dalam segalanya dan perlukan suara untuk didendangkan, adakah undian rakyat pada parti yang kalah diberikan peluang untuk didengar dan diambil berat? Adakah kebebasan untuk bersuara atau berhujah juga akan diterima oleh golongan yang menentang sistem tersebut(yakni, demokrasi) dan tidak disenyapkan atau di-"cancel"?

Krisis Demokrasi

Bagi De Benoist, kebanyakan calon-calon pilihan raya pada hari ini hanya mementingkan untuk dipilih sebagai wakil rakyat. Itu adalah satu hakikat memandangkan kebanyakan daripada mereka "perlu" untuk dipilih untuk melaksanakan idea-idea mereka. De Benoist melihat demokrasi moden pada hari ini tidak berbeza dengan pemerintahan sebelumnya, Pilihan Raya adalah satu peristiwa pemimpin mendapat Pangkat Kebesaran oleh rakyat untuk memerintah.

Beliau juga mempersoalkan konsep "Pendapat Awam", dalam demokrasi. Kebanyakan rakyat tidak mempunyai tidak mempunyai satu pendapat yang sememangnya boleh diterima dalam pemerintahan(atau tidak endah akan hal tersebut), kecuali hanya sedikit sahaja. Bukan itu sahaja, hakikatnya, tidak semua rakyat boleh membuat pendapat awam secara mandiri, tetapi perlu juga bergantung kepada pendapat kalangan "bijak pandai" juga.

Demokrasi, menurut De Benoist, sangat tenat. Ini disebabkan rakyat bukannya mengundi pemimpin yang benar-benar memberikan komitmen yang sepatutnya kepada Keinginan Negara (The Will of Nation) dan juga kepada polis (bukan PDRM ya), tetapi terpaksa mengundi untuk memilih calon yang mempunyai kurang keburukannya (lesser evil). Demokrasi Yang Sepatutnya

Demokrasi yang sepatutnya ialah demokrasi yang diamalkan oleh rakyat Athens Purba – semua rakyat mempunyai peluang dan kuasa untuk menentukan masa depan polis mereka, dan tidak memerlukan seorang "wakil". Demokrasi hanya berkesan kepada "penyertaan" rakyat itu sendiri, bukannya bilangan rakyat, hak untuk mengundi, pilihan raya dan sebagainya.

Penyertaan yang dimaksudkan adalah dengan menjadi sebahagian daripada masyarakat itu sendiri secara keseluruhannya secara aktif. Nak faham dengan mudah – atau kalau ikut apa yang saya faham dengan mudah – kita menggunakan contoh sebuah kampung. Untuk sebuah kampung mengikut sistem demokrasi, setiap penduduk kampung perlu mempunyai kuasa dan hak dalam menentukan hala tuju kampung. Hal ini bermakna ia memerlukan semua ahli kampung yang benar-benar berasal dan dilahirkan di kampung tersebut, dan juga matang membuat pilihan. Dalam demokrasi ini tidak wujudnya, wakil keluarga, penghulu, naib penghulu dsb dsb, tetapi hanya semua ahli kampung yang layak(iaitu berkongsi bahasa, budaya dan sejarah yang sama) dan boleh beri komitmen.

Ini bermakna semua penduduk kampung mempunyai hak dan kuasa sama rata. Sekiranya setiap ahli demokrasi, atau ahli dalam sesuatu wilayah mempunyai hak tersebut – mengikut perkongsian dan keterikatan sejarah, budaya, bahasa, dan juga agama – , ini dapat membenarkan mereka mempunyai peluang untuk mentadbir negara.

Itulah kuasa rakyat dan demokrasi yang sepatutnya.

Rujukan

Wikipedia contributors. 2023, August 31. Alain de Benoist. In Wikipedia, The Free Encyclopedia. Retrieved 04:53, September 9, 2023, from https://en.wikipedia.org/w/index.php?title=Alain_de_Benoist&oldid=1173106657

Benoist, A. de. 2011. The problem of democracy. Arktos: London