Pena berbunga


Pesta Kopi di Riverwalk @ Kinta Riverfront, Ipoh, Perak

Asalnya cuma singgah dan mencuba tester kopi abang gerai ni (pakai baju biru), tapi kami sembang-sembang dari bercerita tentang jenis-jenis kopi, latar belakang beliau (beliau asal Bali), hinggalah ke HMI (Himpunan Mahasiswa Islam). Orang Jemaah juga dia ni ya.

catatan-pesta-kopi-1.webp

Tadi ada juga bersembang beberapa perkara dengan beliau, sebab yelah, sudah bermagang 2 bulan di sana,

Yang pertama, tentang perbezaan gerakan mahasiswa Indonesia dan Malaysia. Kalau Indonesia, kita tidak dapat nafikan semangat mereka untuk berdemonstrasi itu tinggi. Bak kata beliau, mahu masuk HMI, perlu tahu demonstrasi. Ketika itu, aku ada sebut bahawa ia berbeza dengan gerakan mahasiswa di Malaysia yang kurang bersemangat untuk demonstrasi beramai-ramai.

Teringat sebelum ini, ada rakan-rakan aku yang kata itu satu kekurangan dalam kalangan mahasiswa Malaysia. Yang dilihat tidak begitu proaktif, tidak 'turun padang' berbanding dengan mahasiswa Indonesia.

Walaupun begitu…

"Jangan," balas abang itu, "kerana budaya orang di sini(Malaysia) beda di sana. Malah lebih bagus kalau di sini tidak demonstrasi sentiasa."

Ia membuatkan aku merenung seketika. Mungkin benar, abang ini tidaklah menggambarkan pendapat seluruh (bekas) mahasiswa Indonesia, cuma mungkin sebagai seseorang yang pernah terlibat dalam dunia persatuan dan gerakan, ada benarnya untuk tidak terlalu taksub atau terjerumus dalam demonstrasi demi demonstrasi. Sebagai gerakan, ia perlukan sesuatu untuk menggerakkan. Demonstrasi hanyalah salah satu cara untuk melaksanakan perubahan sosial dalam kalangan masyarakat, ada juga cara-cara lain, yang lebih manusiawi seperti sukarelawan, dan kemasyarakatan, yang lebih ilmiah, seperti bengkel-bengkel ilmu atau kuliah-kuliah awam terhadap masyarakat.

Kita, alhamdulillah, dianugerahkan akal untuk berfikir dan keinginan untuk terus belajar dan mencari penyelesaian. Dari akal itulah yang menjadi punca kepada kebanyakan perubahan sosial.

Yang Kedua, Tadi ada sembang juga tentang pengalaman bila di sana dari aspek agama. Sebab baru tahu, di sana ada musolla yang NU-nya, yang Muhammadiyah-nya yang memakai pendekatan berbeza (dia macam Kaum Muda dan Kaum Tua ). Beza dengan masjid-masjid kita yang sememangnya di bawah jabatan agama setiap negeri. Jadi untuk kita yang dari Malaysia ni mungkin akan terkejut sebab ada musolla/masjid ni baca qunut ada yang tidak, ada yang wirid ada yang tidak(kalau siapa yang jenis rajin solat masjid dia akan perasan benda ni hshs).

Tambahan, tentang bersalaman antara lelaki dan perempuan. Itu mungkin antara kejutan budaya yang paling awal dan tidak boleh lupa bila mula-mula tiba di sana. Bagi kita di Malaysia mungkin bersalaman antara lelaki dan perempuan memang satu perkara yang sensitif dan memang tidak diamalkan melainkan dengan yang mahram. Jadi bila di sana, setiap kali ada cewek mahu bersalaman, kita pun hanya tutup tangan 🙏 begini sebagai tanda hormat. Ini pun belajar dari orang sana juga.

Yang ketiga, budaya kopi. Ketika aku di Indonesia, aku perasan bahawa kedai-kedai kopi dengan francaisnya bertebaran di mana-mana1. Dan kebanyakannya berjenama tempatan seperti Kopi Kenangan, Fore Coffee, Tomoro Coffee dan banyak lagi. Dari pagi hingga malam, kafe kopi di sana menjadi tempat bersosial, tempat nongkrong - ia seperti mamak di Malaysia. Tidak dinafikan bahawa perkembangan budaya kopi di Indonesia banyak dipengaruhi oleh penjajahan Belanda. Walaupun kopi bukannya asli dari Indonesia, kebanyakannya dibawa dari Malabar, India dan Africa dan asalnya hanya dinikmati oleh penjajah Belanda. Kini, ia dinikmati oleh masyarakat Indonesia secara keseluruhannya dan ditanam merata tempat di Indonesia. Budaya kopi di Indonesia yang juga terkesan dengan Gelombang Kopi Ketiga dunia, telah mewujudkan Kreolisasi Budaya 2sebagai respon terhadap kafe-kafe kopi luar seperti Starbuck dan mewujudkan kedai-kedai kopi seperti Starbuck, tetapi dengan jenama-jenama tempatan(seperti yang disebutkan di awal perenggan).

Perkembangan kopi di sana sangat pesat, sehinggakan, abang itu kata, beliau sendiri tidak dapat mengejar industri kopi di sana.

Kalau di Malaysia pula asalnya kita ada budaya kopitiam(kedai kopi dalam Hokkien) yang dilihat terhad kepada etnik Cina dan juga India. Sukar untuk sekalikan sebagai golongan yang terlibat dalam budaya kopitiam ini, kerana kebanyakan makanannya yang 'tidak halal'3 (dan disebabkan itu mungkin ia memberi tanggapan bahawa bekas-bekas makanan, dan minuman juga akan digunakan untuk bahan-bahan yang tidak halal).

Walaupun ia dilihat seolah-seolah kopitiam ini seperti ekslusif, tetapi di warung-warung Melayu juga masih ada budaya minum kopi('kopi o satu!').

Cuma yang aku perasan, pengaruh gelombang ketiga kopi ini juga mengambil masa untuk berkembang di Malaysia. Jenama tempatan hasil daripada gelombang ini sudah pun wujud seperti Zus Coffee(yang selama ini aku fikir jenama luar. Ya, begitulah), dan Bask Bear, tetapi aku perasan ia bukanlah ruang sosial yang rancak, kerana peranan tersebut telah diambil oleh restoran-restoran mamak di Malaysia. Tetapi, tak nafi makin lama kedai-kedai kopi mula meningkat di Malaysia lagi-lagi kita juga masih ada jenama-jenama klasik seperti 434, Coffee Bean dan banyak lagi.

Malah jenama kopi Indonesia yang terkenal, Kopi Kenangan( atau di sini sebagai Kenangan Coffee) juga sudah masuk ke Malaysia. Pernah tanya abang gerai itu, mengapa jenama-jenama lain tidak masuk? Tak nafi, aku masih rindu dengan Fore Coffee dan mungkin kenangan menyiapkan tugasan magang masih berbekas lagi, dan menjadi tempat yang membuatkan aku mula mencintai kopi. Abang itu menjawab, ia lebih mahu menghormati dan tidak mahu mengganggu Kopi Kenangan untuk berkembang di Malaysia.

Aku sejujurnya sedikit kecewa, walaupun mungkin faham juga mengapa mereka bertindak sedemikian. Harapnya banyak lagi jenama kopi Indonesia - seperti Fore - untuk membuka cawangan di Malaysia.

Kalau ikutkan banyak sahaja mahu diceritakan, tetapi sudah tentulah kami tidak boleh lama berbual dengan abang tersebut, risau kami yang mengganggu abang itu untuk melayan pelanggan-pelanggan lain( dan aku lupa nama beliau).

Seronok dapat berbual dengan beliau. Dari perbualan tersebut banyak perkara dan memori yang dikongsi. Adib(yang berada di depan kami) ada menyebut, mereka yang memiliki dan membuat kopi ini kebanyakannya gemar berbual, menceritakan kisah hidup dan pengalaman. Kopi ini umpama satu perkongsian memori dan cerita antara penjual dan pelanggan.

Begitulah.

Footnotes:

1

Untuk konteks, ketika itu aku bermagang di Universitas Padjadjaran, Kabupaten Sumedang, Provinsi Jawa Barat. Dalam 40 minit dari Kota Bandung.

2

Purnomo, M., Yuliati, Y., Shinta, A. & Riana, F.D. 2021. Developing coffee culture among indonesia’s middle-class: A case study in a coffee-producing country. Cogent Social Sciences 7(1): 1949808.

3

Khoo, G.C. 2009. Kopitiam: Discursive Cosmopolitan Spaces and National Identity in Malaysian Culture and Media. Dlm. Wise, A. & Velayutham, S. (pnyt.). Everyday Multiculturalism, hlm. 87–104. Palgrave Macmillan UK: London.