Januari
21-01-2024
Satu perkara yang membuatkan saya rasa takut adalah serangan-serangan dan maki-makian terhadap rakan-rakan saya sendiri. Terutamanya yang memegang jawatan-jawatan tinggi di universiti mahupun di luar sana.
Tetapi itulah hakikat dunia ini, golongan yang diatas, akan sering dipandang, dan menjadi perhatian oleh golongan di bawah, kerana 'yang diatas' tidaklah ramai. 'Yang diatas', mereka ini dipilih(dan sekiranya mengikut konteks zaman sekarang yang mengagungkan 'kuasa orang ramai') oleh 'yang dibawah'. Mungkin itulah sebuah tanggungjawab yang dijadikan rantaian terhadap undian-undian oleh mereka 'yang dibawah'. Sekiranya ada yang membuatkan sesuatu yang tidak menyenangkan, nampak menyakitkan, dan juga menunjukkan ketidakadilan, ia akan menjadi sebuah bukti untuk menyerang 'yang diatas'.
Bukankah menyerang 'yang diatas' kelihatan seperti agung, hebat, dan berani?
Ogos
28-08-2024
Saya tertarik dengan satu babak dari syarahan ini iaitu dari minit 24:30 hinggalah minit ke-27:00.
Dr Yaqub Ahmed ada menyebut bagaimana kesukaran bagi masyarakat Muslim - dan dalam konteks syarahan beliau masyarakat Uthmaniyyah - apabila mereka terpaksa berhadapan dengan perkembangan atau teknologi yang baru terutamanya dari Barat, adakah mereka perlu menerimanya? Sekiranya mereka menerima, bagaimana untuk 'mengislamisasikan'.
Ya, saya tahu bunyi agak klise bagi kalian kerana ada perkataan "Islam", cuma perkara yang ingin ditumpukan oleh Dr Yaqub ialah cara teknologi atau perkembangan baru memberi kesan terhadap gaya hidup masyarakat muslim ketika itu.
Beliau membawa contoh "jam", dan menyebut bagaimana "jam" telah mengubah konsep masa dalam kalangan masyarakat muslim, yang mempunyai pemahaman yang berbeza terhadap masa. Masyarakat muslim melihat masa dalam kerangka waktu solat, "Nanti kita jumpa lepas asar", atau "Nanti mula kerja waktu subuh", tetapi sekarang, "Awak perlu datang kerja pukul 6 tepat". Dari sini terdapat perubahan dari segi pemahaman makna "masa" dalam kalangan masyarakat muslim, dan ia juga dapat dilihat pada masa sekarang.
Teknologi dan kesannya terhadap kerangka pemikiran masyarakat menjadi satu perhatian yang menarik bagi saya. Teknologi telah mempengaruhi makna, bukan sahaja dalam aspek 'masa', tetapi juga aspek 'perhubungan'(Dr Yaqub ada menyebut dalam syarahan tersebut tentang WhatsApp), jantina, pekerjaan, pendidikan, malah untuk perkara-perkara kecil seperti menulis catatan ini.
Ia mengingatkan saya kepada kisah Nietzsche apabila beliau mula menggunakan mesin taip keluaran Malling-Hansen Writing Ball kerana penglihatan beliau yang semakin terjejas dan menyukarkan beliau untuk menulis dengan tangan. Pada awalnya, ia membantu Nietzsche untuk meneruskan penulisannya tanpa mengharapkan penglihatannya melalui teknik taip sentuh, tetapi rakannya, Heinrich Koselitz, sedar akan perubahan gaya penulisan beliau, sehingga Nietzsche berkata,
"Alatan penulisan kita mempengaruhi cara kita berfikir".
Tidak nafi, penulisan di atas kertas sangat berbeza dengan taip dalam komputer, malah pada hari ini kita banyak juga taip dengan telefon, dan daripada cara kita menghasilkan penulisan akan berbeza dengan cara kita berfikir untuk penulisan tersebut.
Cara kita memahami konsep hubungan dengan keluarga, rakan-rakan, yang tersayang banyak terjejas dengan kemunculan media sosial. Ya, ini satu kenyataan yang tidak akan diterima orang, tetapi hakikatnya lihatlah sekeliling kita. Semasa kita di rumah, atau keluar bersama keluarga adakah kita banyak bergaul, bersembang dan berjenaka sesama kita atau mata kita hanya terikat dengan skrin telefon? Dan setiap kali kamu berbual dengan rakan kamu atau melakukan satu perbuatan, adakah kamu betul-betul fokus dan menghargai setiap perbualan dan perbuatan kamu, atau kamu ada ambil masa untuk menangkap dan merakam perkara tersebut dan menghantarnya ke media sosial untuk ditayangkan kepada orang lain yang mungkin kisah atau tidak kisah dan hanya lihat sekilas pandang dan cuma akan di-skrol dengan jari ibu atau telunjuk mereka. Menarik untuk dilihat apabila 'hubungan' dan 'pengalaman' hanya menjadi 'produk untuk ditayangkan di pasaran perhatian m,edia sosial, daripada sesuatu yang peribadi, dan berharga bagi kita.
Konsep penggantian oleh teknologi ini juga boleh dilihat dalam menggantikan struktur sosial masyarakat. Prof Carl R. Trueman telah memberikan satu penulisan penulisan yang cukup menarik tentang perkara ini. Trueman menyebut tentang bagaimana teknologi memainkan peranan dalam mengubah peranan jantina. Wanita yang pada asalnya hanya dilihat bekerja sebagai suri rumah dan perlu dilihat 'kewanitaan' atau feminine, mampu untuk bersaing dengan lelaki apabila pekerjaan yang dilihat memerlukan tenaga fizikal yang kuat boleh diatasi dengan teknologi. Ia menyebabkan struktur jantina juga berubah.
Sifat 'penggantian' pemahaman oleh teknologi ini sudah tentunya memberikan satu masalah dalam masyarakat muslim ketika itu. Kita dapat lihat apabila mereka perlu berhadapan dengan mesin cetak yang asalnya diperkenalkan oleh Johannes Gutenberg ketika itu. Daripada pengenalan mesin cetak ini, ia telah mengubah struktur pendidikan masyarakat muslim dan juga kedudukan Ulama ketika itu. Sebelum ini, kitab-kitab amatlah terhad dan penuntut ilmu perlu mengembara jauh dari satu tempat ke satu tempat untuk duduk dan belajar dengan Ulama untuk memahami dan menguasai kitab-kitab terpilih. Setelah pengenalan mesin cetak, dan kemudian, internet, mereka tidak perlu mengembara kerana dapat akses buku-buku tersebut dengan mudah, malah hanya di hujung jari(Hamdeh 2020) atau dirumuskan oleh ChatGPT.
Rujukan
Hamdeh, E. 2020. Shaykh Google as Ḥāfiẓ al-ʿAṣr: The Internet, Traditional ʿUlamā’, and Self Learning. American Journal of Islam and Society, 37(1-2), 67-102.